Monday, 31 December 2012

Gelombang Kedua Banjir

Dalam keghairahan menyambut tahun baru 2013 dan keghairahan anak-anak untuk kembali ke sekolah. Hujan yang tanpa henti sehari semalam telah menyebabkan banjir untuk kali kedua bagi tahun ini. Kalau gelombang pertama banjir merupakan banjir yang terburuk sepanjang 12 tahun adakah gelombang banjir kali kedua ini lebih teruk lagi. 

Banjir yang berlaku 12 tahun dulu iaitu pada tahun 2000 telah menyebabkan ramai penduduk-penduduk di Kampung La Besut terpaksa berpindah dan ada rumah yang dihanyutkan. Gelombang banjir pertama tahun 2012 telah menyebabkan kerosakan teruk kepada rumah penduduk di Kampung Padang Bual Besut. 

Gelombang pertama banjir ini dikatakan berpunca dari Empangan Paya Beda yang dalam pembinaan tidak dapat menampung kapasiti air yang meningkat dengan cepat. Kini seminggu berlalu gelombang kedua mula menyusul.

Keadaan jalanraya yang ditenggelami air di Kampung La, Hulu Besut

Monday, 24 December 2012

Dah Banjir Dah

"Awalnya abah balik kija" Tanya anakku yang berusia lima tahun sebaik sahaja melihat aku balik.

"Tak, Abah sangkut banjir kat kg. Jerebun" terang ku padanya.

"Kalau gitu tengah hari nanti boleh pergi main air" Aku sudah dapat menangkap maksud kata-kata anak yang dia hendak pergi melihat keadaan air di Ampangan Jajar, Gong Duek.

"Jadi ke banjir tahun ni, abah" tanya anakku lagi..

"Jadi lah tu.. haaa.." kataku berseloroh...

Tengahari hari tu kami semua ke Ampangan Jajar Besut untuk melihat paras air sungai

Saturday, 8 December 2012

Mengepek

HARI Sabtu cuti hujung minggu tidak kemana-mana. Paling tidak pagi-pagi capai basikal seround dua keliling kampung, bakar kalori sedikit biar badan berpeluh. Lepak kat rumah, pagi-pagi lagi dengar anak bergaduh. Lepas itu ibunya campur tangan mengepek pada setiap anak. Kadang-kadang dari pagi sampai petang kerjanya mengepek sahaja. Tidak nampak tanda-tanda dia penat kerana asyik mengepek.

Kadang rasa terbakar juga telinga ini seperti diri aku juga yang dingepeknya. Yang akhirnya aku anggap sahaja sebagai satu alunan irama. Sunyi pula kalau rumah tiada suara anak-anak bergaduh dan akhirnya suara mengepek itu bergema.

Friday, 7 December 2012

Kena Tambah Lagi

SEMALAM aku membawa pulang satu unit komputer, menjadikan rumahku sekarang memiliki 2 unit PC, satu unit laptop dan 2 unit  notebook. Kesemua dua unit PC ini dipenuhi dengan permainan. Rasa-rasanya masih belum mencukupi.

Anak-anak masih lagi berebut untuk bermain yang akhirnya menjadi perbalahan kecil. Yang itu nak main yang ini nak main, kadang-kadang menyebabkan aku atau ibunya terpaksa campur tangan. Nampak gayanya aku kena tambah satu lagi

Thursday, 6 December 2012

Rise of Nation

PERMAINAN strategi ni aku memang suka main terutama bila aku mempunyai masa lapang yang panjang. Almaklum sahajalah masa permainannya yang panjang. Bermula dari zaman dahulu hingga ke zaman informasi. 

Friday, 30 November 2012

Laporan perubatan

SEMALAM ke HUSM Kubang Kerian berjumpa dengan doktor pakar Gastro dan juga bagi mengetahui keputusan ujian darah yang dilakukan pada dua minggu lepas dan hasil keputusannya :-

HDL - Chol (Cholesterol baik)
1.33
LDL - Chol (Cholesterol Jahat) istilah yang diberi
4.00
TG
1.64
Cholesterol
6.08

Keputusan 6.08 itu adalah tinggi. Paras kolesterol yang diingini oleh tubuh kita ialah

Total Kolesterol (TC)
Kurang 4.5  -  5.2 MMOL/L
LDL
Kurang 2.5  -  3.5 MMOL/L
HDL
Lebih daripada 0.9 @ 1.1 MMOL/L
TRIGLISERDIA
Kurang 1.5 - 2.3 MMOL/L

Aku tidak faham istilah itu semua dan terus bertanya doktor apa itu LDL, HDL dan TG

LDL (Low - Density Lipoprotien)
Kolesterol LDL yang berlebihan didalam darah akan menyempitkan salur arteri disebabkan sifatnya yang ringan dan seterusnya penimbunan LDL ini mampu meningkatkan risiko penyakit jantung dan stroke

HDL - High-Density Lipoprotien
Ini kolesterol baik kerana ia berfungsi mencari dan menganggkut lebihan LDL pada arteri untuk dibawa balik ke hati dan disimpan. Paras HDL yang tinggi akan membantu melindungi jantung dari penyakit jantung dan mengurangkan risiko.

TG - Trigliserdia
Sejenis lemak ringkas didalam aliran darah. Kehadirannya menyumbang kepada peningkatan LDL atau penurunan HDL.

Wednesday, 28 November 2012

Hendak lari kemana ni?

CADANGAN untuk menahan taut ikan keli Limbat di Sungai Banar telah lama aku rancangkan. Hasil yang aku dapat sewaktu melakukan dahulu amat memuaskan. Manakan tidak hampir empat puluh ekor kesemuanya. Ikan keli limbat kurang digemari bagi sesetengah orang kerana dikatakan sejenis ikan pemakan bangkai. Mempunyai ukuran tubuh lebih dua kali ganda daripada ikan keli biasa dan berwarna kuning pekat.

Sungai Banar waktu itu memang belum tercemar. Belum ada lagi ladang kelapa sawit dihulu. Sungai yang melingkari didalam kebun getah yang seluas lapan ekar. Sungai yang luasnya lebih kurang empat meter dengan air yang jernih menjadi tempat yang sesuai untuk ikan dan udang-udang galah bersembunyi.

Bila tarikh yang ditetapkan tiba, aku hanya berdua dengan kamil sahaja yang pergi kali ini memandangkan rakan-rakan yang lain tidak mahu turut serta. Jam tiga petang aku dan Kamil bertolak dari rumah. Berjalan kaki dari rumah ke Sungai Besut lebih lima belas minit waktu itu belum ada lagi jalanraya yang menghubungi antara Padang Tapong dengan Durian Telor. Kami berdua mengambil masa lebih kurang empat puluh lima minit melalui kebun-kebun getah.

Aku menyediakan taut yang sememangnya telah berada dibawah bangsal. Memeriksa tasi dan mata kail. Sementara Kamil pula mengali cacing untuk dibuat umpan. Sungai Banar dari bangsal hanyalah beberapa meter sahaja.

Sebaik sahaja cahaya matahari suram kami berdua terus meredah tebing Sungai Banar dan mencacak taut.
Setelah selesai kami balik ke bangsal untuk berehat dan makan. Seusai makan malam kami berehat dibangku depan bangsal menantikan tugas yang seterusnya sambil berbual

"Selepas Isyak nanti kita pergi selusur taut tu" cadang Kamil.

Aku mengangguk sahaja dengan cadangan dari Kamil itu kerana aku tidak mahu terlalu lewat untuk menyelusur taut itu memandangkan kami berada di hutan dan jauh dari kampung. Terdetik juga perasaan takut dihati, kalau dulu memang ramai yang menyertai kini hanya aku dan Kamil, terasa sunyi juga. Tebing Sungai Banar penuh dengan semak samun. Aku takutkan ular lebih-lebih lagi tedung selar. Ayah aku pernah menyatakan bahawa dia pernah terserempak dengan tedung selar  sebesar betis dan ular cap raya. Bila aku bayangkan bagaimana terserempak dengan tedung selar, uuiiiih amat menyeramkan.

Sedang asyik berbual kami terpandang satu cahaya bergerak diatas pohon-pohon getah dari dahan ke dahan yang lain. Dari kesamaran cahaya lilin aku memandang ke arah Kamil dan pandangan kami bertentangan. Kamil dan aku melopong, terus memandang kearah cahaya yang semakin dekat. Lebih kurang sepuluh meter cahaya itu berhenti diatas dahan  getah yang paling hampir dengan bangsal. Sekejap besar sekejap kecil. Aku menahan tangan Kamil bila merasakan dia cuba mengambil lampu untuk menyuluh. Selepas itu cahaya mula bergerak mengelilingi bangsal dan kembali semula didahan yang sama. Dari satu berpecah dua, cahaya kekuningan itu terus berlegar disekeliling bangsal kami berdua.

"Kita hendak lari kemana ni" tiba-tiba terpacul ayat dari mulut Kamil

"Lari. Hendak lari kemana malam-malam ni, semakin sesat adalah"  Kataku pada Kamil.  Bulu tengkuk aku semakin meremang.

"Kau bacalah apa-apa ayat Al-Quran yang kau tahu. Kita tunggu disini sahaja.' Usulku pada Kamil.

Lebih kurang sepuluh minit cahaya itu bermain dan berlegar dipandangan mata kami dan akhirnya hilang begitu sahaja. Tujuan untuk menyelusur taut kami batalkan. Kami terasa takut, malam itu kami tidak lena tidur. Hendak balik malam-malam begini terasa lagi takut.

Pagi menjelma kami terus ke Sungai Banar untuk menganggkat taut. Hasil yang kami dapat sebanyak tiga belas ekor ikan keli limbat, dua ekor bujuk dan seekor ikan selat.  Kami bertolak balik jam sembilan pagi.
Sampai dirumah aku terus menceritakan apa yang berlaku keatas diri kami malam itu dan ayahku menyatakan apa yang kami lihatitu adalah cahaya hantu pari.   

Betul Ke?

Tuesday, 27 November 2012

Gatal dan Merapu

Gatal 

makin digaru makin sedap

Jaga-jaga ada yang gatal tangan

Aduh, aku digigit semut gatal

Sunday, 25 November 2012

Dah Adat Bermain

PENAMPILAN pertama bagi mempertahankan piala kali ini bukan milik kita. Sebagaimana kata-kata dari anakku dahulu. Berbagai-bagai komen di facebook ada yang mengutuk dan ada juga yang memberi pujian.

Aku bukan nak kutuk, cuma yang pastinya orang lain lebih hebat dari kita. Percaturan yang lebih baik dan nasib yang menyebelahi.  Setiap permainan pasti tiada siapa yang mahukan kekalahan.  Kita telah mencuba sebaik mungkin dan nasib tidak menyebelahi kita. Kita cuba baiki lagi mutu kita.

Memang dah jadi adat bermain menang dan kalah jadi taruhan. Kalau kalah teruk itu memang teruk

Saturday, 24 November 2012

Cerita Pagi Raya Korban

"AIR Ketum sapo dia jatuh ni"

Satu pertanyaan  yang mengejutkan semua orang.  Waktu itu, kami semua sedang melapah lembu korban.  Sipenanya tadi terus mengambil bungkusan air ketum itu terus diletakkan dibawah pangkal pokok rambutan berhampiran.  Saya memandang bungkusan air hijau itu dan semua mata memandang, lelaki tua muda dan anak-anak kecil termasuk yang perempuan sekali, maklumlah raya korban semua anak beranak bertandang.  Lagi pun mereka semua sedang menunggu untuk mendapatkan agihan daging.

Mereka semua tertanya-tanya.  Adik saya memandang pada saya dengan pandangan yang penuh soalan.  Saya mengangguk tanda memahami dan kami berdua sememangnya mengetahui ianya milik siapa. Tiada orang lain lagi kecuali hanya dia seorang saja disini yang suka benda-benda macam tu. Kesiannya sahabat ini, terbongkok tanpa berkata apa-apa dengan muka merah menyala. 

Gambar sekadar hiasan;
kredit buat mynewstoday

Friday, 23 November 2012

Bola Sebiji

SUKAR bagi pasukan malaysia untuk menang Piala AFF Tahun ini.  Itu kata-kata dari anak aku yang berumur empat belas tahun. Anak saya yang seorang ini memang terlalu minat pada bola.  Nama-nama pemain menjadi hafalannya. Kalau saya hendak tahu pasal bola saya akan rujuk padanya. Kalau dulu saya kurang minat dengan bola dan tidak pernah ambil kisah pasal bola. Sekarang ni terpaksa ambil tahu juga kerana tidak mahu ketinggalan, lebih-lebih lagi layan berbual.  

Aku kurang minat untuk memberi ulasan atau memberi apa-apa pandangan tentang pasukan bola sepak kita. Yang pastinya aku macam mereka yang lain mengharapkan pasukan kita mampu mempertahankan Piala AFF. 

Kerana bola itu bulat

Saturday, 17 November 2012

Riadah Petang Jumaat

PETANG Jumaat 16 November - Kebetulan tiada apa-apa aktiviti yang hendak aku lakukan yang kebiasaannya hanya berkebun . Aku memenuhi rungutan anak-anak kecil yang ingin melihat 'motor melompat' yang sorang pula katanya hendak lihat 'motor cross'.

Sebaik sahaja kereta dihidupkan anak-anak yang lain pun hendak ikut sama tapi dengan memberi syarat pada jam 6 petang  mesti berada dirumah. Aku memang memahami kerana mereka hendak bermain bola sepak.  Jadi kami hanya sebentar sahaja di Kampung Bintang, Setiu melihat 'motor lompat'

Aksi yang menarik perhatian anak-anak

Penonton di kalangan Anak-anak kecil 

Wednesday, 14 November 2012

Selamat menyambut MAAL HIJRAH 1434, 2012/2013Masihi

Selamat menyambut MAAL HIJRAH 1434, 2012/2013 Masihi

Salam maal hijrah utk semua umat Islam di mana sahaja.... semoga dosa-dosa dan kejahatan kita yang lalu diampunkan dan tahun ini membawa satu perubahan yang besar kepada diri kita,dipanjangkan umur dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat…
aminnnn..

Sama-samalah kita berhijrah kearah kebaikan

Tema Sambutan Maal Hijrah Tahun ini ialah "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah"

Sunday, 11 November 2012

Cuti Sekolah

Cuti sekolah sudah bermula. Anak-anak berehat panjang menunggu sesi persekolahan dibuka semula pada tahun depan. Tahun ini tidak ada seorang pun diantara anak-anak yang terlibat dengan peperiksaan.  Tahun depan, 2013  anak yang sulong akan menempuhi SPM dan anak yang kedua akan menduduki PMR

Bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang menduduki peperiksaan UPSR. Keputusannya akan diumumkan pada 19 November ini.

Berikut adalah Takwim Persekolahan tahun 2013 sebagai rujukan.

Saturday, 10 November 2012

Kekerapan Menulis

Terkesan.  Sungguh terkesan.   Ada sebuah buku yang aku baca telah membangkitkan motivasi aku. Maklumlah aku ni bukannya lulusan universiti ataupun lulusan sarjana dalam bidang penulisan. Aku ini hanya orang kampung.  Hidup seharian hanya berlegar legar pada persekitaran kampung  sahaja.

Buku ini yang aku beli sewaktu menemani anak-anak ke Galeri Hidayah Jerteh pagi tadi telah memberi sedikit motivasi untuk aku menulis. Bukan menulis novel atau cerpen. Hanya menulis di dalam blog.

Antara petikan yang memberi motivasi kepada aku di dalam buku Ingin Menjadi Penulis hasil nukilan A. Ubaidah Alias.

Yang membezakan antara penulis dan bukan penulis ialah KEKERAPAN kita menulis. Sekalipun kita kaya idea dan mempunyai idealisme yang hebat, jika kita tidak meluahkannya dengan menulis maka kita tidak dianggap penulis. Sebaliknya, jika kita miskin idea dan tidak mempunyai gagasan pemikiran yang kritis tetapi kita menulis apa sahaja. Maka kita sudah layak dianggap penulis.

Friday, 9 November 2012

Majlis Akad Nikah

8 November 2012  -  Dengan sekali lafaz  pada jam 9.30 malam maka berakhirlah episod zaman bujang anak sedara aku ni. Majlis akad nikah diadakan dirumah pengantin perempuan di Kampung Pulau Meranti, Nyiur Tujuh hanya dihadiri adik beradik dan saudara mara terdekat sahaja.

Majlis Persandingan akan diadakan pada 11 November 2012 sementara majlis bertandang ke rumah pihak lelaki akan diadakan pada 13 November 2012 di Kampung Gong Kemuning Pasir Puteh, Kelantan

Sah bergelar seorang suami

Senyuman seorang ibu (sebelah tepi) ditengah itu 
emak saudara pengantin lelaki

Thursday, 8 November 2012

Hantu Galah

Shima menyandang beg pakaian ke bahu sebaik sahaja melangkah keluar dari kereta prebet sapu. Sebentar tadi dia sempat memandang jam di dashboard kereta yang menunjukkan pukul 5.25 pagi. Pagi masih terlalu awal dan dia harus menapak melalui jalan-jalan yang gelap. Jarak rumahnya dari jalan utama lebih kurang 500 meter. Cuti perayaan Tahun Baru Cina ingin dimanafaatkan sepenuhnya bersama keluarga di kampung. Majikannya di Shah Alam telah memberi kelulusan untuk bercuti. Sudah hampir tiga tahun dia berkerja sebagai operator pengeluaran di sana.

Walaupun di sepanjang jalan menuju kerumahnya ada beberapa rumah tetapi hatinya tetap berasa takut kerana dia terpaksa melalui di dua tempat yang sunyi iaitu satu disebuah selekoh dekat ditepi alor dan satu lagi sebuah hutan kecil dikiri kanan jalan sebelum sampai ke madrasah. Selepas madrasah itu di tidak perlu takut lagi kerana rumah disitu rapat rapat dan sudah hampir dengan rumahnya.

Puas sudah dia memujuk pemandu prebet sapu tadi supaya  masuk menghantar terus ke rumahnya. Tetapi pemandu itu memberi alasan yang dia hendak terus balik ke rumah dengan segera.

Dengan berpandukan cahaya bulan yang terang Shima menapak perlahan menyusuri sepanjang jalan yang hanya mampu dilalui oleh sebuah kenderaan sahaja. Sekiranya dua bua kereta bertembung maka salah sebuah harus meminggir ke bahu jalan.

Tiba diselekoh ditepi alor Shima merasakan bulu romanya meremang, bahu dan tengkuknya terasa berat. Ditetapkan juga langkah kakinya walaupun terasa berat. Terasa betapa lamanya untuk melepasi kawasan ini. Dari kesuraman cahaya bulan beberapa meter dihadapan dia melihat sesuatu bergerak. Dia tidak pasti apa yang sebenarnya, dia hanya nampak seperti dua batang pokok pinang sedang bergerak dengan jarak yang jauh seperti langkahan kaki manusia.

Semakin lama semakin dekat dengannya. Sebaik sahaja Shima melihat ke atas dia nampak kepala lembaga tersebut mendongak ke atas dengan kedua-dua tangan seperti menganggkat sesuatu. Shima menjadi semakin takut. Dia tidak tahu apa lagi yang hendak dilakukan, hendak berlari kaki terasa terpaku ke bumi. Seluruh tubuhnya mengeletar. Dia cuba menginggati ayat-ayat suci Al-Quran tetapi mulutnya terkunci untuk membaca surah-surah lazim yang kebiasaan hafazalannya.

Shima memerhatikan setiap langkahan makhluk yang berada didepannya, dia sendiri tidak mengetahui apakah nama makhluk atau hantu yang sekarang ini tiba-tiba berdepan dengannya. Shima meminggir ke tepi jalan sebaik sahaja berselisih. Sambil memusingkan badan sedikit demi sedikit dan akhirnya berjalan secara mengundur, setelah beberapa meter jauh dari makhluk itu.

Shima berlari dengan sekuat hati tanpa mempedulikan beg yang di bawa. Tujuannya hanya satu sekarang, berlari ke rumah yang berhampiran dan rumah yang paling hampir pada pandangannya ialah rumah Pak Cu Lah.
Sesampai sahaja dirumah Pak Cu Lah, Shima mengetuk pintu dengan sekuat hati

Sebaik sahaja Pak Cu Lah membuka pintu, dia melihat Shima dengan muka pucat dan nafas yang tercungap-cungap. Belum sempat dia bertanya apa yang berlaku Shima terus rebah dan pengsan.

Sebaik sahaja terjaga dari pengsan Shima mendapati dia telah berada dirumahnya. Dia menceritakan apa yang telah berlaku ke atas dirinya. Seorang tua yang tahu berkenaan dengan hantu itu menjelaskan apa yang dilihat oleh Shima itu adalah 'hantu galah'.

Selepas kejadian itu empat hari Shima demam. Ibubapanya memanggil seorang bomoh untuk menjampi. Niat hatinya untuk memanafaatkan sepenuhnya cuti dengan berkunjung ke rumah rakan-rakan sekampung berlaku sebaliknya rakan-rakannya pula yang datang menziarahinya..

Wednesday, 7 November 2012

Cuti

Pagi-pagi lagi aku menelefon bos memaklumkan aku mahu cuti rehat. Semalaman tidak cukup tidur menyebabkan kepala aku pening. Nasib sememangnya baik tanpa banyak soalan dia meluluskan cuti.

Lagipun aku sudah maklumkan dari petang kelmarin lagi tentang kemalangan yang menimpa anak dan isteriku. Aku manfaatkan cuti ini dengan tidur serta membantu memasak untuk isteri yang tidak dapat bergerak seperti biasa.

Tuesday, 6 November 2012

Kemalangan

Lebih kurang pukul 5.30  aku menerima  panggilan seseorang lelaki melalui telefon isteri ku

"Mal, ini aku aman.  Isteri dan anak kau kemalangan, aku yang hantarkan ke hospital"

Berdegup kencang jantung aku bagai nak luluh sebaik sahaja menerima perkhabaran itu. Bermacam andaian yang bermain di fikiran aku. Semuanya prasangka yang tidak baik. Lebih lebih lagi dengan nada suara Aman yang cemas semacam.

"Macam mana keadaan mereka?" Aku cuba meminta kepastian dari Aman lebih awal.

"Dia orang tidak apa, hanya kecederaan kecil sahaja."

Tanpa berkata apa-apa lagi aku terus mematikan telefon lantas mengajak anak-anak yang lain yang sedang bermain bersama-sama rakan di laman rumah.

Kereta ku pecut laju. Sebaik sampai perkarangan Wad Kecemasan aku melihat Aman bersama adikku dan anak saudara ku serta rakan-rakannya  berada disitu. Setelah menegur mereka dan bertanya khabar sepatah dua kata aku terus masuk ke Wad Kecemasan.

Anak dan isteriku berada dikatil sebelah menyebelah. Isteriku yang membonceng motosikal mengalami luka yang lebih banyak berbanding dengan anakku yang hanya luka di pergelangan tangan. Darah masih lagi mengalir di dahi walaupun luka itu telah ditutup dengan kain kapas.

Beberapa kali isteriku menanyakan perkara yang sama iaitu siapa yang menghantarnya ke hospital. Aku menenangkannya supaya tidak bercakap dan kurang bergerak kerana dia belum pulih sepenuhnya. Aku dimaklumkan bahawa
Dia baharu sahaja sedar dari pengsan.

Hampir jam 10.00 malam barulah kedua-dua mereka dibenarkan pulang setelah menjalani beberapa prosedur perubatan. Isteriku menerima 7 jahitan diatas kening. X ray yang dibuat menunjukan kedua dua mereka tiada mengalami kecederaan dalaman.

Sekalung penghargaan kepada jururawat, pembantu perubatan dan para doktor yang berkerja demi menjaga kesihatan orang ramai walau dimana bertugas..

Kata-kata

Terkadang sedikit gurauan atau kata-kata kita akan membuat hati rakan-rakan kita tersentuh,  walhal tiada niat dihati kita untuk mengata atu mencari kesalahan mereka. Benarlah kata-kata peribahasa melayu 'terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya". Orang-orang tua kita dahulu memang pandai dalam mencari kata-kata kiasan untuk memberi kata teguran kepada orang lain. Nenek moyang kita dahulu lebih berseni dalam berkata-kata. 

Tiada seni dan kiasan dalam berkata-kata tidak mengapa tetapi berhati-hatilah dalam berkata. Hati orang lain pun kena jaga juga. Walau setinggi mana sekali pun jawatan kita, walau setinggi mana pun taraf kita. Kita saling memerlukan antara satu sama lain. 

Kerana tajamnya kata-kata itu lebih tajam dari mata pedang, itu perumpaan yang diberikan menggambarkan betapa tajamnya kata-kata itu sehingga menyebabkan kata-katalah yang menjadikan mulut binasa

Kerana Pulut Santan Binasa
Kerana Mulut Badan Binasa

Sunday, 4 November 2012

Pokok petai nan sebatang

Masih aku ingat waktu kanak-kanak dulu, masa itu umur aku dan sepupu-sepupu serta rakan-rakan yang lain dalam lingkungan sembilan atau sepuluh tahun.  Kalau tidak silap aku tahun 1976 atau 1978, kisah yang hendak aku ceritakan ini berlaku dalam lingkungan tahun itulah.

Tiada Video game, tiada PSP. Irama rock masih belum wujud lagi dalam jiwa kami semua. Penyanyi popular yang menjadi idola kakak kakak kami masa itu, Hail Amir, Uji Rashid, Gaya Zakry dan seangkatan dengannya. (Tiada kena mengena dengan cerita ini). Hiburan kami pada waktu itu, wayang kulit dan dikir barat yang sekali sekala mengadakan pertunjukan. itu pun selepas musim menuai dan juga wayang pacak dari Jabatan Penerangan. Permainan kami pada siang hari, kami lebih gemar melastik burung, bermain senapang buluh berpelurukan buah cenderai, main polis dan pencuri (polis Sentri).

Bekalan letrik belum pun menjelajah mana-mana rumah di kampung kami dan kampung sekitarnya. Bagi mereka yang berada dan berduit, rumah mereka lebih terang berbanding dengan rumah rumah yang lain kerana mereka mampu memasang lampu gasolin. Bagi kami pelita ayan  menjadi pelengkap kehidupan  kala malam menjelang. Dirumah kecil aku, hanya radio yang menjadi peneman, yang mana lebih banyak mendengar saluran Radio Singapura berbanding dengan saluran RTM . Untuk menonton television, kami terpaksa berpakat ramai-ramai ke salah sebuah rumah jiran kami yang waktu itu mempunyai television. Menggunakan generator sebagai punca bekalan letrik. Jarak rumahnya lebih kurang lapan ratus meter.Kami dikenakan bayaran sebanyak sepuluh sen dan mesti memasukkan syiling itu ke dalam tin biskut yang disediakan ditepi pintu masuk rumahnya. Cerita yang menjadi kegemaran kami ialah 'Combat' lakonan VIC Morow . Malam Sabtu rumahnya bertambah meriah bila Tayangan Gambar Melayu disiarkan

Waktu itu aku belum mengerti sepenuhnya bagaimana kehidupan susah kami.  Yang mana ayah dan ibu kami membanting tulang empat kerat untuk memberi makan kami semua. Pagi menoreh getah di bukit dan petangnya pula bersawah padi. Bagi kami ini waktu yang cukup seronok untuk bermain. Pagi pergi ke sekolah dan tidak sabar menunggu petang untuk bermain. 

Cuma satu saja halangan kami, pokok petai yang sebatang itu. Pokok petai tua sebatang berdiri gagah ditepi jalan cukup menakutkan kami semua. Itulah yang menyebabkan kami semua berjalan dalam kumpulan bila bergerak diwaktu malam. Bila hendak pergi mengaji ke rumah Wak Timah kami terpaksa melalui jalan berhampiran pokok petai itu. Sudah banyak cerita yang kami dengar tentang pokok petai itu. Cerita yang menakut-nakutkan kami, digembar-gemburkan dengan pelbagai hantu dan puaka terutamanya hantu pari tapi satu pun kami belum lagi berjumpa atau terjumpa.Walau apa pun yang terjadi kami terpaksa jua melintas pokok petai itu untuk ke rumah Wak Timah atau untuk menonton television. Walau sebanyak mana hati kami gerun dengan cerita-cerita yang disampaikan

Boleh dikatakan kerap kali kami tercium bau yang harum seperti bau bedak sejuk bila melintas dikawasan pokok petai ini. Waktu inilah kami berlari selaju-lajunya dan yang paling kecil menangis sambil berlari dibelakang kerana tertinggal terlalu jauh berbanding rakan-rakan yang lain.

Kini pokok petai sebatang itu sudah tiada, tumbangnya menyembah bumi mereput bersama tanah. Anak-anak kami semua tidak pernah mengenal pokok petai itu malahan tiada mengenal takut akan hantu atau puaka kerana kami semua tidak pernah menakut-nakutkan mereka semua dengan cerita-cerita seperti itu..

Wednesday, 31 October 2012

Penghujung Tahun

Tup tap tup tap dah akhir bulan Oktober. Hampir sampai ke penghujung 2012. Terasa terlalu cepat masa berlalu dan masih banyak yang belum terlaksana. Rupa-rupanya sudah hampir ke penghujung sesi persekolahan bagi tahun ini. Minggu depan merupakan minggu akhir persekolahan. 

Anak-anak dah mula tersenyum kerana akan bercuti panjang dari alam persekolahan buat sementara. Tahun ini tiada yang terlibat dengan peperiksaan sama ada UPSR, PMR atau SPM. 

Tahun depan anak yang sulong akan menghadapi SPM dan anak yang kedua akan menghadapi PMR, semoga mereka akan bserjaya dalam peperiksan. InsyaAllah..

Tuesday, 23 October 2012

Suara Kemarahan

Suara itu di dalam telefon hari ini cukup berlainan dari biasa. Marahkah dia pada aku. Rasanya aku tidak berbuat salah padanya. Bahkan dialah yang membuat kesalahan. Kesalahan itu bukan pada aku tapi pada dirinya sendiri.  Ya, dia menganiayai dirinya sendiri. Kasihan dia dan kasihan pada rakannya yang satu itu. 

Rakannya itu turut mengikuti jejak langkahnya dan melemparkan kemarahan itu pada diriku juga. Kasihan mereka. Mereka ini tidak menyedari bahawa apa yang mereka ambil itu sebenarnya bukan haknya. Kedua-dua suara itu hanya memarahi di dalam telefon tanpa ada kesanggupan untuk berhadapan dengan ku..

Kerana mereka tahu bahawa aku ada bukti. Ya, bukti yang menunjukkan bahawa mereka berdua berada dalam kesalahan.

Tadi, aku pun pergi. Bukan berjumpa mereka. Aku berjumpa seseorang atas satu urusan. 

Tanyanya "adakah aku marah"

"Mana mungkin aku marah" kata ku. 

"Mana tahu"  katanya, 

"sehari dua ni ramai yang marah-marah"

"Biarkan mereka marah" kata ku lagi "asalkan kita jangan jadi macam mereka,  cepat marah macam mereka walaupun terang dan nyata mereka bersalah

Thursday, 27 September 2012

Dalam Kenangan

Setelah sekian lama menyepikan diri,... ooopss bukan sengaja menyepikan diri tetapi masalah kecurian kabel menyebabkan tidak dapat online.

Dua hari lepas saya kehilangan seorang rakan karib, mayatnya telah ditemui selepas tiga hari beliau meninggal dunia. Kehilangannya disedari bila beliau tidak hadir untuk membuat hemodialisis di Hospital Besut. Rakan saya ini merupakan seorang pesakit buah pinggang kronik yang mana beliau mesti melakukan hemodialisis empat kali seminggu.  Seorang rakan saya yang berada berhampiran dengan rumah beliau telah  pergi dan tercium bau busuk lalu mengumpil pintu dan mendapati beliau telah meninggal dunia dalam keadaan terduduk bersandar pada meja kecil didalam rumah. 

Sesungguhnya banyak kenangan bersama beliau sewaktu kecil dahulu... Alfatihah buat sahabat ku .. Sabri b. Che Hassan

Friday, 31 August 2012

Salam Merdeka

Selamat Menyambut hari kemerdekaan yang ke 55 tahun pada tahun ini. Semoga Malaysia yang tercinta ini sentiasa terus kekal merdeka dan aman sejahtera serta terus maju. Semoga Kemerdekaan ini terus menjadi milik kita,.. merdeka jiwa dan raga.  Merdeka akal dan fikiran

Syukur kerana kita lahir sebagai anak merdeka, tidak merasa keperihan hidup sebagaimana yang dialami oleh datuk nenek kita. Sesungguhnya kita dibumi Malaysia ini merasa cukup bertuah. 

Alhamdullillah aku anak Malaysia..... Salam Merdekaraya 2012

Thursday, 23 August 2012

Salam Syawal

Tup....... tap......tup.. tap.... hari ni dah masuk hari raya kelima,... cepatnya masa berlalu. Sanak saudara yang berkumpul telah kembali ke tempat masing-masing. Tempat mencari rezeki. 

Ketika hari raya inilah mereka akan beramai-ramai balik kampung untuk beraya bersama sama keluarga, bersama sanak saudara dan handai taulan. Ayah dan emak menjadi pengikat tali silaturrahim di Syawal yang mulia antara adik beradik. Bagi mereka yang sudah tidak mempunyai ayah dan emak rumah pusaka peninggalan ayah dan bonda menjadi tempat berkumpul mereka adik beradik

Alhamdullillah Syawal menjadi pengikat dan penghubung silaturrahim antara kita semua.

Tuesday, 31 July 2012

Berbuka Puasa

Aktiviti berbuka puasa bersama Group FZ di Mysweet Sour Restaurant

Selepas mengiringi Menteri Besar Terengganu dari Pejabat Penyelaras UMNO DUN Hulu Besut ke Felda Tenang,  kami mengambil keputusan untuk tidak berbuka puasa di Felda Tenang dan memilih Mysweet Sour Restaurant

Friday, 27 July 2012

Seronok dan tidak seronoknya

Beberapa hari lepas aku ada post tentang betapa seronoknya aku jadi orang kampung. Kali ini nampaknya aku kena pergi ke bandar, Kuala Lumpur kota metropolitan. Nampaknya aku kena keluar dari kepompong ku. Melihat keseronokan dibandar besar pula. Apa yang seronoknya dan apa yang tidak seronoknya. Tapi yang pastinya tidak seronok kerana aku berada sebentar sahaja di kota ini

Sebenarnya dah lama aku tidak ke Kuala Lumpur, awal-awal lagi aku menelefon dua pupu memaklumkan kedatangan ku kesana. Sekurang-kurangnya aku ada tempat untuk membuat rujukan sekiranya aku tersasar dari tempat untuk dituju.

Malam esok aku akan bertolak dan malam lusa terus balik, tidak mahu berlama-lama kerana pada hari isnin 30 Julai ni aku kena hadir di hari penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011. 30 Julai ada dua tiga acara yang kena hadiri.

Tuesday, 24 July 2012

Ramadhan- tugas harian seperti biasa

Salam Ramadhan dan syukur kehadrat Ilahi kerana diberi kesihatan yang sempurna untuk berpuasa, walaupun sehari sebelum berpuasa tempoh hari gastrik datang, alhamdulillah sehingga hari ini masuk hari ketiga berpuasa tidak mendatangkan apa-apa masalah.

Hari ini seperti biasa jadual kerja ku cukup padat dan hari yang sibuk. Esok InsyaAllah akan ke Pejabat Audit di Kuala Terengganu untuk mengambil dokumen yang telah diaudit. Alhamdulliallah semuanya seperti tahun yang sudah-sudah.

Thursday, 19 July 2012

Meja

"Paaannng" meja itu dipukul
 dihempas dan ditumbuk
oleh tangan tangan sasa itu
 
 Meja itu  menjadi mangsa manusia-manusia itu 
melepaskan marah  meluahkan dendam yang terbuku.

Meja itu menjadi tempat berkira bicara
menyelesaikan segala perkara melanda
tempat mengadu domba

Hari ini meja itu telah tua
tidak tahan menanggung segala beban
akhirnya tersungkur ke bumi

Wednesday, 18 July 2012

Hari Akhir

Hari ini cukup kalut. Ramai sahabat yang menjadi sibuk. Sibuk mengisi data dalam Sistem e-pangkat. Line pula menjadi semakin ciput.. ngangut, itu bahasa yang aku boleh istilahkan. Biasalah bila sampai hari akhir masing-masing termasuk akulah tu barulah hendak mengambil tindakan. Hanya tinggal beberapa orang lagi yang belum dimasukkan data mereka. Harap-harap tidak berterusan sehingga petang nanti.

Tinggalkan yang itu. Buat sahabat-sahabat yang  baru pulang dari Konvoi Jelajah bermotosikal ke Melaka. Selamat pulang saya ucapkan dan syabas serta tahniah buat mereka kerana dapat berkonvoi dengan berhemah.

Tuesday, 17 July 2012

Aku seronok di kampung

Aku tidak mahu berkisah tentang bandar. Sudah ramai yang update blog masing-masing pasal bandar. Tidak kiralah bandar mana sekali pun. Kuala Lumpur, Johor Bharu atau mana 
mana bandar. Aku tinggal di kampung jadi blog aku banyak berkisar tentang kampung. Kampung ku yang indah dan damai. Udara yang masih segar dan sekitarnya yang masih permai. Hanya sekali sekala angin-angin panas datang meniup membawa debunya sekali. Maka ramailah penduduk kampung yang permai ini terasa bahangnya.

Dalam tempoh selama tiga tahun hanya  tiga kali aku berkunjung ke Kota Bharu dan kebanyakannya aku berkunjung ke Kuala Terengganu, itu pun atas urusan rasmi kerja. Pergi Kuala Lumpur mungkin jauh sekali. Kalau tiada kursus atau mesyuarat rasa-rasanya tidak terkunjung.

Ada yang seronok jadi orang kampung, ada yang seronok jadi orang bandar. Kalau orang kampung jadi orang bandar jangan sampai lupa pada kampung, lupa pada asal usul.Yang pastinya orang kampung yang tinggal di bandar tidak seronok kalau tidak dapat balik kampung bila tiba hari raya.

Aku ni jenis yang seronok jadi orang kampung. Tidak pernah meninggalkan kampung dalam 
jangkasama yang lama. Seingat aku dulu, selepas SPM prnah aku cuba meninggalkan kampung untuk mencari makan di Johor Bharu tapi hanya mampu bertahan selama seminggu sahaja. Aku rindu pada kampung halaman. Jadi sampai sekaranglah aku menetap
dikampung dan berbakti pada kampung halaman.

Monday, 16 July 2012

Kembali aman @ masih ada yang bising lagi

Malam ini bermulalah pembahagian wang Dana Bakti Remaja bagi remaja kampung ku. Pagi-pagi lagi hensetku dah berbunyi

"Kak Nor ni. Kak Nor nak tanya tentang baucar anak Kak Nor ada tak" Suara lemak merdu bergendang dihujung telinga sebaik sahaja handset dibuka. milik suaranya seorang wanita yang berusia dalam lingkungan pertengahan 50an

"Beginilah Kak Nor, Kak Nor tanya  Man, semuanya saya dah serah pada dia petang kelmarin selepas saya buat semakan". Kataku padanya

"Kak Nor hanya nak pastikan nama anak Kak Nor ada tak. Zita bagitahu Kak Nor yang anak dia punya awak dah bagi kelmarin. Kak Nor dah pergi rumah dia sekejap tadi tapi rumah dia tertutup rapat lagi" sambung Kak Nor

"Biasalah Kak Nor, orang bujang lewatlah bangun pagi-pagi begini" kataku lagi

Beginilah rutin ku bila sampai tempoh pembahagian wang bakti remaja. Sibuk lah sikit. tapi dah memang tugas dan amanah yang aku terima. Alhamdullillah kerana sahabat aku itu sanggup membantu dan meringankan beban tugas aku.

Nampaknya bila masing-masing sudah menerima baucar suasana kembali menjadi aman tiada lagi suara bising-bising. Tiada lagi sebarang rungutan terutama dari kalangan ibubapa.... bimbang takut anak mereka tidak dapat

Sunday, 15 July 2012

Bila ada yang panas dan marah-marah

(i)

"  Mu ada terima mesej dari 'tut' " satu sms yang aku terima, hampir waktu maghrib petang kelmarin dari teman ku yang merupakan juga naib ketua pemuda cawangan aka setiausaha peti undi .

" x dok" aku membalas.
  
" mu dok mana" sebentar kemudian satu sms lagi ku terima. Terus aku membalas dan menyatakan bahawa aku berada dirumah. Sewaktu aku hendak turun ke dapur untuk mengupas kelapa tiba-tiba terdengar bunyi motor di hadapan rumah. Aku membatal niat dan terus ke depan rumah.

"cepat sampai, macam ada hal penting" kataku pada kawan. Sebenarnya aku sudah menjangka bahawa dia mempunyai cerita yang teramat penting bagi dirinya. Tanpa dijemput dia terus menghenyak punggungnya diatas kerusi sambil menarik nafas dalam-dalam.

"Apa hal" tanya ku lagi.

"Berat" katanya lagi. Aku tidak sabar terasa seperti dia sedang berteka teki

"Apa yang beratnya, cakaplah cepat" aku sudah tidak sabar lagi.

" 'tut' sudah buang bendera yang kita pacakkan di depan Bilik Gerakan Peti Undi" aku tersentak seketika, terkedu.  Apa punya hal yang dia pergi buang, rungut aku dalam hati.

"Pasal apa dia buang, mana dia campakan?" tanya aku lagi pada kawan..

"Ada, dia letakkan dalam bilik gerakan" bagitahu kawan ku.

"aku tidak tahu kesnya tapi yang pasti seperti dia sedang marah-marah" sambung kawan lagi

"Tidak patut dia buat macam tu, dia ketua kalau dia nak marah sekalipun tidak boleh buat begitu, nanti apa pandangan orang luar tentang penduduk kampung kita. Dia mewakili suara semua penduduk kampung ini". Betul juga kata kawan ini, dia seorang ketua, tunjuklah contoh yang baik untuk anak-anak buah dikampung.

Teringat aku rungutan dari beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong tentang kerapnya dia tidak hadir dalam mesyuarat dan ahli cawangan sendiri. Dia seakan kurang berminat atau mungkin dia terlalu sibuk dengan urusan lain. Sewaktu berjumpa dengannya sendiri di pagi Persidangan Perwakilan Bahagian dia meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan seseorang. Aku sendiri tidak pasti pada sesiapa. Yang pastinya tentu orang itu orang yang penting dalam parti.

Kawanku tadi tidak dapat panjang lebar kerana kedatangannya pun diwaktu maghrib, katanya sambung semula.....

(ii)

Tengahhari kelmarin aku menerima panggilan dari seorang ibu. Seorang ibu yang prihatin tentang anak-anak. Semuanya pasal Dana Bakti Remaja.

"Salam" Katanya sebagai pembuka bicara. Aku seperti biasa menjawab salam kerana menjawab salam itu adalah wajib.

"Kak nak tanya sikit tentang baucer tu, dah bagi ke belum, sebab kak dengar kampung lain ramai yang telah dapat, bukan apa anak-anak kaka semuanya tinggal jauh. Sekurang-kurangnya kalau dapat cepat, cepatlah kakak bagi tahu dia orang untuk balik" katanya pada ku

" Oh.. belum lagi kak. Kalau sampai nanti saya maklumkan" kata ku

" Beginilah kalau dapat nanti kak nak awak sendiri yang bagi. Kakak takut terjadi macam tahun lepas". Katanya lagi

Aku teringat tahun lalu. Dia cukup marah bila kedua-dua anaknya tidak menerima baucar tersebut dan bila dia menyemak di pejabat penyelaras telah ada orang yang menuntut wang tersebut atas nama kedua-dua anaknya. Aku menjadi mangsa hamburan amarahnya. Bermacam-macam perkataan yang aku terima dari mulutnya. Walaupun dia tidak menuduh secara langsung tetapi kata-katanya seakan aku yang bertanggungjawab. Ya sebagai ketua aku yang mesti bertanggungjawab. Dia minta aku menyiasat, kalau tidak dia akan melaporkan kepada pihak berwajib. Aku minta dia bersabar buat sementara. Akhirnya segala permasalahan selesai kedua-dua orang anaknya telah mendapat wang tersebut.

Pasal wang siapa yang tidak marah, kalau orang lain dapat tiba-tiba nama kita tercicir dan tidak dapat siapa yang tidak panas..

Saya rasa semua ini pasal wang..

Saturday, 14 July 2012

Musim Durian

Musim durian datang lagi, menjenguk sekali tahun untuk merasa keenakan buahnya. Raja segala buah, itu gelaran yang diberikan padanya. Tahun ini buahnya benar-benar menjadi. Lebat. Hinggakan harganya menjadi murah. Bagi mereka  yang malas untuk menghalau tupai, maka banyaklah buah gugur yang ditebuk tupai

Musim durian kali ini menemukan aku dengan sahabat lama, sahabat sepermainan dimasa kecil dahulu. Sahabat yang telah lama tidak balik ke kampung kelahiran, sahabat yang merupakan jiran diwaktu kecil. Seingat aku keluarganya berpindah sewaktu kami berusia dalam lingkungan 16 tahun dan hampir berpuluh tahun tidak kembali ia akhirnya kembali  ke kampung halaman.

Semuanya bermula dengan kehadiran facebook, dia mencari aku di facebook. Telah banyak kali dia chatting dengan aku dan mennyatakan akan kembali,... akhirnya impian dia untuk kembali ke tanah kelahirannya tercapai pada musim durian tahun ini. Katanya dia rindu pada tanah kelahiran ini, walaupun dia sudah tiada ibubapa disini tapi ada beradik masih ada di daerah ini walaupun tidak di kampung ini... Biarpun dia berada dirantauan dia tetap merindui tanah tumpah darahnya..

Thursday, 12 July 2012

Ilham

Setiap kali bila berada depan komputer dan bila jari jemari menyentuh tetikus semuanya jadi kabur. Blur. Kalau sebelum itu banyak ilham yang datang, banyak idea yang hendak tercurah keluar tapi semuanya dah terkambus. Tenggelam terus. Kemana kau ilham bila disaat memerlukan. Mati kutu jadinya. Bagaikan seorang penyajak yang telah kehilangan sajak, bagaikan... ntahlah aku sebenarnya dan sememangnya tiada ilham dan bidang tulis menulis ini sememangnya bukan bidang aku.

Tujuan sebenarnya tadi untuk ke Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian tetapi disebabkan hujan ribut dan disertai oleh kilat dan guruh gemuruh maka sahabat mencadangkan kami membatalkan sahaja tujuan kami. Yang pastinya turut disertai oleh perasaan MALAS. Ini yang menjadikan saya menconteng tanpa tujuan diblog sendiri tanpa ilham. Ini kali pertama Pemuda UMNO Bahagian mengadakan mesyuarat pada sebelah malam, kebiasaanya diadakan pada sebelah siang hari.

Tuesday, 10 July 2012

Bila Cuti

Semalam 9 Julai 2012 saya ambil cuti. Tujuannya cuma satu, permintaan isteri untuk ke Kota Bharu, Kelantan bagi membeli pakaian seperti jubah, blous dan sebagainya untuk dimasukkan ke kedai kami. Sebenarnya sudah lama saya tidak masuk ke pusat bandar Kota Bharu, kalau datang pun sekadar Billion. Hendak dijadikan cerita sewaktu di depan Pasar Siti Khadijah saya telah dimarahi kerana memasuki tempat parking yang tidak sepatutnya saya masuk. Saya meminta maaf kerana menyedari bahawa ada orang lain yang telah menunggun lebih awal dari saya. Selepas berpusing dua tiga kali di kawasan Pasar Siti Khadijah dan tidak menemui tempat untuk parking kereta saya mengambil keputusan untuk ke Bazaar Tok Guru.

Hari ini saya cuti lagi, cuti yang terpaksa diambil. Tubuh terasa berat semacam, segala sendi terasa lenguh, segala urat terasa sakit.... agak-agaknya demam urat. Segala-galanya terasa MALAS..

Sunday, 8 July 2012

Ditangguhkan

Salam dan kemaafaan buat sahabat-sahabat sekalian, sebenarnya banyak program yang dirancangkan  terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu. Salah satunya Program Konvoi ke Cameron Highland yang telah dirancang dan sepatutnya telah dilaksanaka pada 29 dan 30 Jun lalu. Ramai dari rakan-rakan peserta tersalah anggap dengan kenyataan yang telah dibuat bahawa program tersebut telah diluluskan oleh Yang Berhormat.... Ya sebenarnya program ini telah pun diluluskan tetapi peruntukkan belum lagi sampai. Bagaimana program harus terlaksana sekiranya wang untuk program tiada. Jadi program ini terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu.

Satu lagi program yang sudah banyak  kali ditangguhkan ialah program memancing ke Tasik Kenyir. Sudah tidak terlayan rasa pertanyaan dari sahabat sahabat yang berminat untuk sertai sama.. akhirnya terpaksa memberi jawapan program ditangguhkan sehingga satu masa yang akan ditetapkan nanti...

Monday, 2 July 2012

Aku hampir terlupa @............

Ya Allah dah lama aku tidak membuat sebarang aktiviti disini, hampir-hampir aku terlupa bahawa aku mempunyai diari online. Kesibukan yang membatas bukan satu alasan tapi line broadband yang terlalu prlahan dan lambat membuatkan aku malas menunggu. Suma sehari dua ini lah line agak laju sedikit, Insayallah aku akan kembali mengaktifkan semula penulisan disini.

Monday, 23 April 2012

Segalanya selamat

Hari ini saya memohon kebenaran keluar sekejap dari majikan untuk mengiringi anak saya yang berusia  9 tahun untuk melakukan pembedahan kecil iaitu untuk membuang ketumbuhan diatas lidah. Sudah hampir setahun ketumbuhan ini disedari dan semakin membesar. Ketuat atau pun ketumbuhan ini sudah sebesar hujung pensil 2B. Alhamdullillah segalanya berjalan dengan lancar, tiada berlaku apa apa masalah. Hanya sedikit rintihan dari anak saya mungkin menahan sakit sebelum dibius.

Temujanji telah dibuat sebulan yang lalu dengan doktor pakar dari Hospital Permaisuri Nur Zahirah. Pagi tadi ternyata ramai doktor muda (pelatih) yang mengeliingi anak saya memerhatikan doktor pakar melakukan pembedahan. Saya masuk sama ke bilik pembedahan sebagai memberi perangsang dan semangat kepada anak..  Syukur pembedahan berjaya dan temujanji seterusnya sminggu lagi untuk membuang jahitan.